Genta Rasa Hayat

Thursday 17 July 2014

Puisi : DI TAMAN MUNAJAT

Di taman munajat menguntum doa
putih bersih mengharum sukma
mekar berkembang mensyukuri
limpah taufiq dan hidayah-Mu.

Di taman munajat memuncak rasa
redha dan pasrah merimbun takjub
meranting mendahan taubat
dalam insaf dan akur kesalku.

Di taman munajat membuai khusyuk
tenang dan senang membuah zikir
meredup memayung nurani
dalam iman dan aman amalku.

Hamparan doa di taman munajat
yang kugubah dan kugagahi
tiap detak nafas dan tika sadar
mengharap rahmat-MU
menaungi langkahhayatku.

- KanvasKarya,
  Hulu Langat.

*20 Ramadhan 1435  / 18 Julai 2014






Wednesday 13 November 2013

Puisi: Dengan-Mu

Dengan asma'-Mu
aku bernaung

Dengan sifat-Mu
aku berlindung

Dengan peragat-Mu
aku memohon

Dengan kudrat-Mu
aku bersyukur

Dengan-Mu
hidup adalah bermakna.

-KanvasKarya,
 Hulu Langat.

 Hari Asyura 1435H

Monday 11 November 2013

PUISI : MENCARI MAKNA

Puas sudah mencari makna
menyaring tafsir
menebak tanggap
mendalami maksud

Namun masih saja belum
puas merungkai
nikmat menilai
hadam memaham

Betapa hakikat hayat
di pentas fana
antara dosa dan pahala
bertimbun membeban
atau merimbun meredup
seorang aku.

-KanvasKarya,
 1.20pg / 8 Muharam 1435



Thursday 31 October 2013

PUISI: SETELAH LAMA BERPALING

Amat payah dan lelah,
untuk memulakan..

Genta rasa bergejolak
menumpahkan resah
resah yang mencengkam

mengunci mata batini.

Akalrasa kian lemah
menafsir peristiwa
di helaian hari
yang gugur bermakna.

Betapa telah jauh
menangkap makna
setelah lama berpaling
dari kiblat hayat.

Tuhan,
kembalikan hujan rahmat-Mu
membasahi nuranifikirku
sinari nur hidayah-Mu
memancari kelamderiaku..

-Kanvaskarya,
 Hulu Langat.
27 Zulhijjah 1434H
 

Wednesday 24 October 2012

LINGKARAN RASA

Hidup ini adalah pentas lakonan. 
Kita sebagai pelakonnya, berwatak rencam.
Terpulang kepada masing-masing~ ingin menjadi insan terbaik, 
ataupun memilih untuk menjadi yang di sebaliknya..
                                                           
Skrip ada di tangan.. Pilihlah dengan akal yang waras, gerakkan dengan tindak yang bijak.
Kita ingin hidup beroleh rahmat keberkatan, ataupun sengaja ingin menempah episod duka yang berpanjangan..

Segalanya telah DIA hamparkan sebagai pedoman dan panduan dalam firman-NYA..

Semoga kita sentiasa dalam bimbingan taufiq dan hidayah-NYA.. 
Aamiin..